Sunday 17 March 2013

SYAIR KEINSAFAN DAN KESEDARAN...




Ingatlah kamu kepada Tuhan
Janganlah leka minum dan makan
Amal ibadat mahulah dikumpulkan
Dosa maksiat hendaklah dijauhkan

Wahai pemuda serta pemudi
Harapan bangsa tiang negeri
Janganlah leka berhias diri
Ilmu pengetahuan segera dicari

Seorang diri di liang lahad
Baharulah ingat tak buat ibadat
Hendak puasa sembahyang dan zakat
Tetapi semuanya sudah terlambat

Bila rasa tersangat siksa
Baharulah teringat kembali ke dunia
Tetapi tiada apa gunanya
Kerana sudah pergi ke sana

Wahai kaum
muslimin dan muslimat
Dunia ini hampirlah kiamat
Janganlah asyik membuat maksiat
Sebelum mati kita bertaubat

Mayat terbujur di dalam kubur
Daging dan tulang hancur lebur
Di atas dunia ia bertakbur
Kepada Tuhan ia tidak bersyukur

Wahai saudara serta saudari
Pahalanya banyak tidak terperi
Mencari keuntungan diri sendiri
Baikkan perangai rendahkan diri

Banyak orang mengejar kesenangan
Siang dan malam berangan-angan
Harta dan pangkat ada di tangan
Di akhirat kelak sesal berpanjangan

Kepada anak-anak
utamakan pelajaran
Penuhi dada dengan ilmu pengetahuan
Pelajaran agama janganlah ditinggalkan
Siang dan malam berilah teguran

Kepada Allah janganlah berhenti
Menjunjung titah berbuat bakti
Pekerjaan jahat janganlah dihampiri
Terbakar kulit dijilat api

Bila dah tiba ajal dan mati
Tinggal anak saudara dan saudari
Air mata mengalir ke pipi
Tiadalah boleh diminta kembali

Di dalam kubur gelap gelita
Kerana tiada lampu dan pelita
Datanglah lipan, ular dan kala
Lalu disengatnya tersangatlah bisa

Malaikat datang bertalu-talu
Membawa rantai besi dan belenggu
Mayat disiksa terus dipalu
Tidaklah dikira masa dan waktu

Ingatlah tuan serta puan
Janganlah terlampau mengejar kebendaan
Apabila mati semuanya ditinggalkan
Hanya dibawa amal kebajikan

Datanglah pula perasaan sesal
Amalan soleh tiada dibekal
Ajaran Tuhan banyak ditinggal
Tahulah dia di dunia tak kekal

Di akhir zaman kebanyakan manusia
Kepada akhirat banyak tidak percaya
Mahupun miskin ataupun kaya
Kemewahan dunia ia terpedaya

Iblis dan syaitan sentiasa menggoda
Iman manusia terus dilanda
Dosanya bertambah berlipat ganda
Marilah kita sentiasa berwaspada

Semangat Islam semakin kabur
Seluruh umatnya sangatlah mundur
Pengajaran agama sangtalah kendur
Adab kelakuan tak boleh ditegur

Sampai di sini saya bermadah
Ambil ingatan walau sepatah
Janganlah saudara memandang mudah
Baik dan jahat akan terdedah

Rebutlah peluang semasa muda
Berbaktilah kepada bangsa dan nusa
Untuk masyarakat dan kedaulatan agama
Namumu harum disebut selama-lama

~ Petikan buku: Senjata Pak Kiyai

sumber: sitik's